Nabi Yusuf a.s. - (نبي يوسف عليه السلام) - merupakan salah seorang daripada golongan nabi dan rasul yang wajib diketahui. Kisah baginda dikisahkan dalam al-Qur'an iaitu dalam Surah Yusuf. Kisah baginda turut dikisahkan dengan nama Joseph, dalam kitab Perjanjian Lama.
Keluarga
Baginda merupakan putera ketujuh (ada sumber mengatakan anak kesebelas) Nabi Ya'akub a.s. dan baginda berkongsi ibu yang dikenali sebagai Rahil dengan adiknya, Bunyamin. Baginda mempunyai 12 orang adik beradik lelaki dan baginda mempunyai rupa paras yang tampan dan dimanjai oleh bapanya. Walau bagaimanapun, ibu kandungnya wafat ketika baginda berusia 12 tahun.
Kasih sayang yang diperolehi dan kelebihan pada baginda dan Bunyamin mendorong 10 adik-beradik lelaki dari ibu yang lain berasa iri-hati dan dengki yang mewujudkan komplot menarik perhatian bapa mereka. Mereka bercadang untuk membunuh baginda.
Mimpi agung
Pada suatu ketika, Nabi Yusuf pernah menceritakan kepada ayahnya tentang mimpi yang pernah dialaminya. Nabi Yusuf bermimpi melihat matahari, bulan dan sebelas buah bintang sujud kepadanya. Nabi Ya'aqub yang arif mengenai erti mimpi berpesan supaya tidak menceritakan mimpi tersebut kepada adik-beradiknya yang lain.
Lama-kelamaan, adik-beradik Nabi Yusuf tahu juga akan mimpi tersebut. Mereka juga tahu tentang pengertian mimpi tersebut. Suatu hari nanti, Nabi Yusuf akan dihormati oleh sebelas orang adik-beradiknya. Sejak dari saat itu, timbullah rasa dengki di dalam hati mereka. Lebih-lebih lagi apabila ayah mereka sangat menyayangi Nabi Yusuf.
Yusuf dimasukkan ke dalam perigi
Pada hari sebelum mereka menjalankan rancangan, adik beradik Yusuf menghadap Nabi Yaakub a.s. untuk meminta izin membawa Yusuf bermain bersama mereka tetapi bapanya bimbang akan keselamatan Yusuf yang berkemungkinan baginda akan dimakan serigala jika mereka tidak menjaganya.
Mereka berjaya menjalankan rancangan mereka dengan mencampakkan Yusuf ke dalam sebuah perigi buta dan pulang ke rumah pada senjanya dengan berpura-pura menangis dan mengatakan kepada Nabi Yaakub bahawa Yusuf dimamah serigala sambil menunjukkan baju Yusuf yang dilumuri darah kambing biri-biri (kibash) .
Nabi Yaakub tetap tidak percaya dan mengatakan anak-anaknya berdusta kerana cerita mereka itu tidak masuk akal. Meskipun demikian Nabi Yaakub hanya bersabar sahaja sambil memohon pertolongan dari Allah semata-mata.
Kehidupan di Mesir
Sementara itu, baginda Nabi Yusuf telah ditemui oleh rombongan pedagang yang berhenti untuk mengambil air di perigi. Rombongan pedagang itu terkejut apabila melihat bahawa perigi yang disangka mempunyai takungan air itu hanya terdapat seorang kanak-kanak kecil sahaja, lalu rombongan pedagang tersebut mengeluarkan Yusuf dari telaga/perigi dan membawa baginda ke Mesir. Di sana, baginda dijual dengan harga beberapa dirham sahaja. Baginda dibeli oleh seorang bangsawan berbangsa Qibti atau Mesir yang bernama Futhifar (dalam al-Qur'an digelar al-Aziz - diceritakan bahawa beliau adalah Ketua Polis Mesir). Baginda berkhidmat sebagai hamba di Mesir sehingga dewasa.
Isteri Futhifar (Zulaikha)
Yusuf hidup tenang dan tenteram di rumah Futhifar, Ketua Polis Mesir, sejak ia menginjakkan kakinya di rumah itu dan kepercayaan penuh dari kedua majikannya. Nabi Yusuf yang telah dewasa mempunyai rupa yang menawan dan menarik minat ramai perempuan Mesir dan salah satu daripadanya ialah isteri kepada tuannya.
Lama-kelamaan, isteri tuannya yang bernama Zulaikha, jatuh cinta kepada Nabi Yusuf. Tetapi, Nabi Yusuf menolak cintanya. Zulaikha menjadi marah kerana penolakan itu lalu berusaha mengejar Nabi Yusuf. Bahagian belakang baju Nabi Yusuf akhirnya terkoyak kerana ditarik oleh Zulaikha.
Di hadapan suaminya, Zulaikha memfitnah Nabi Yusuf ketika suaminya baru sahaja pulang. Walau bagaimanapun, baginda terselamat dengan bukti yang berada di hadapan mereka iaitu baju baginda koyak di belakang dan bukan di hadapan. Akhirnya, Futhifar menyebelahi Yusuf dan berita itu sampai ke masyarakat umum.
Cacian dan cemuhan yang diterima Zulaikha membuatkan Zulaikha mempunyai niat untuk mengenakan Yusuf kembali. Lalu diadakan satu jamuan (di kalangan wanita) dan para jemputan diberikan pisau untuk memotong makanan mereka. Kemudian, Yusuf disuruh untuk keluar di hadapan para jemputan lalu rupa parasnya membuatkan mereka ternganga hingga mereka tidak sengaja telah melukai jari-jari tangan sendiri dan mengatakan yang Yusuf bukanlah manusia biasa tetapi malaikat. Peristiwa itu masih belum dapat memuaskan hati Zulaikha. Dia terus mengancam Nabi Yusuf. Akhirnya, Nabi Yusuf merelakan dirinya dipenjarakan.
Penjara dan tafsiran mimpi
Sewaktu di dalam penjara, Nabi Yusuf mempunyai dua orang teman. Mereka ialah bekas pelayan dan pegawai istana. Baginda menjelaskan bahawa dia telah memeluk agama yang dibawa oleh datuknya, Nabi Ibrahim dan ayahnya Nabi Ya'aqub yakni agama yang menyembah Allah S.W.T. Tuhan yang menguasai langit dan bumi berserta isinya.
Pada suatu malam,kedua-dua teman itu bermimpi. Sahabatnya yang menjadi pelayan bermimpi memerah anggur dan pegawai istana pula bermimpi menjunjung roti di atas kepalanya tetapi sebahagiannya pula dimakan burung. Nabi Yusuf lalu menjelaskan maksud mimpi mereka. Pelayan istana akan bebas dan bekerja semula. Pegawai istana juga akan bebas tetapi akan dihukum mati. Ternyata apa yang dikatakan oleh baginda menjadi kenyataan. Baginda memesan agar si pelayan itu menyebut namanya di hadapan Firaun dan memberitahu yang dia dipenjarakan bukan atas kesalahannya. Walau bagaimanapun, si pelayan itu telah terlupa dan menyebabkan baginda terperangkap di dalam penjara untuk beberapa tahun lagi.
Ganjaran Firaun
Kepandaian baginda mentafsirkan mimpi disampaikan oleh pelayan kepada Firaun kerana mimpi Firaun tidak dapat ditafsirkan oleh ahli nujum diraja. Baginda dipanggil ke istana untuk mentafsirkan mimpi Firaun yang bermimpi melihat tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus dan tujuh tangkai gandum hijau dililit oleh tujuh tangkai gandum kering.
Nabi Yusuf mentafsirkan mimpi tersebut di hadapan Firaun iaitu pada masa akan datang akan berlaku kemarau salama tujuh tahun setelah berlaku tujuh tahun kemakmuran. Pada masa itu, baginda mencadangkan kepada Firaun agar bertindak bijaksana dalam menghadapi musim kemarau.
Firaun berasa kagum dengan kepintaran Nabi Yusuf lalu membebaskannya dan melantik baginda sebagai menteri yang mempunyai kuasa penuh untuk menghadapi masa kemarau.
Sebagai wazir Mesir
Nabi Yusuf tidak menolak tawaran Firaun Mesir itu. Baginda meminta agar diberi kuasa untuk pada bahagian perbendaharaan (kewangan dan pengedaran makanan). Pada hari penobatan yang dihadiri oleh para pembesar dan bangsawan, Nabi Yusuf dinaikkan sebagai wazir dengan mengenakan pakaian kerajaan dan hiasan yang mewah.
Kemudian, Firaun Mesir berkenan untuk mengahwinkan Yusuf dengan Zulaikha, janda majikannya yang telah mati ketika Nabi Yusuf masih dalam penjara. Yusuf menerima dan mendapat dua orang putera (menurut pendapat ulama, putera baginda dinamakan Ifratsim dan Minsya).
Dalam masa tujuh tahun pertama Nabi Yusuf menjalankan pemerintahan di Mesir, rakyat merasakan hidup tenteram, aman dan sejahtera. Barang-barang keperluan untuk semua tanpa terkecuali. Baginda juga tidak lupa peringatan yang terkandung dalam mimpi Firaun Mesir, lalu mempersiapkan gudang bagi penyimpanan makanan untuk musim kemarau yang bakal tiba. Maka, tempoh kemarau telah dilalui tanpa sebarang kesukaran.
Pertemuan kembali
Musim kemarau membuatkan ramai orang luar Mesir seperti dari Palestin datang untuk meminta bantuan. Antara mereka ialah adik-beradik Nabi Yusuf sendiri. Walau bagaimanapun, mereka tidak tahu bahawa Yusuf masih hidup malah menjadi orang besar memimpin negara Mesir sebagai wakil Firaun.
Abang-abang Nabi Yusuf yang tinggal di Palestin pergi ke Mesir bagi menukar barangan dengan makanan. Mereka masuk ke bandar Mesir dan pergi menemui Nabi Yusuf yang menjaga gudang simpanan makanan. Dalam pertemuan itu Nabi Yusuf serta-merta telah mengenali abang-abangnya tetapi mereka tidak mengenalinya.
Yusuf ingin menguji abang-abangnya dengan meragukan identiti dan mengesyaki mereka sebagai musuh dan meminta bukti. Oleh kerana mereka adalah orang-orang musafir gharib, maka sukar sekali bagi mereka untuk memberi bukti atau membawa saksi. Nabi Yusuf memberi peluang kepada mereka dengan membenarkan mereka membeli gandum dari gudang dengan syarat mereka harus membawa Bunyamin atau mereka tidak akan mempunyai peluang lagi. Mereka kini sukar untuk membawa Bunyamin memandangkan bapa mereka Ya’akub menyayanginya dan lebih berat untuk meninggalkannya selepas khabar akan “kematian” Yusuf.
Yusuf bukanlah ingin menganiaya atau membalas dendam tetapi hanya sekadar ingin mengetahui keadaan ayah dan adik bongsunya, Bunyamin yang sudah bertahun-tahun ditinggalkan dan hanya sekadar taktik untuk mempertemukan kembali dengan ayah dan saudara-saudaranya yang sudah lama terpisah. Kemudian baginda memerintahkan pegawai-pegawainya mengisi karung-karung dengan makanan yang perlu tanpa mengambil sedikitpun barangan mereka untuk ditukar.
Tanpa mengetahui hal itu, mereka kembali di Palestin dan memberitahu Ya'akub tentang perjalanan mereka dan bagaimana Yusuf menerima mereka. Tetapi ayah mereka tidak mengizinkan mereka membawa Bunyamin kerana tidak mempercayai mereka lagi setelah apa yang berlaku ke atas Yusuf. Setelah mengetahui bahawa barang untuk ditukar dengan makanan dipulangkan kembali, mereka lebih mudah meyakinkan ayah mereka, Bunyamin dibenarkan mengikuti mereka ke Mesir.
Setibanya di istana, mereka disambut oleh Yusuf yang masih mereka belum menyedari hakikat bahawa itu adalah adik mereka. Mereka disediakan jamuan dan tempat penginapan untuk setiap dua orang sebuah rumah tetapi, Bunyamin diajak bersamanya menginap di istana. Di istana, Yusuf memberitahu segalanya kepada adiknya dan adiknya memberitahu tentang ayahnya pula.
Bunyamin ditahan
Kemudian, Allah telah memberi ilham kepada Nabi Yusuf supaya Nabi Yusuf menyediakan barang-barang makanan untuk dibawa pulang oleh abang-abangnya, baginda Nabi Yusuf telah meletakkan piala minuman Raja Mesir di dalam karung barang-barangan yang diletakkan di atas unta Nabi Bunyamin.
Kemudian Nabi Yusuf menyuruh pembantunya berpura-pura menjerit mengatakan Raja Mesir (Firaun) telah kehilangan piala minuman baginda dan menuduh abang-abang Nabi Yusuf yang mencuri piala raja itu.
Selepas meminta diri, mereka pulang tetapi dikejar oleh pengawal istana berkuda untuk memeriksa barangan mereka. Para pengawal mengatakan piala minuman firaun telah hilang dan mungkin salah seorang daripada mereka telah mencurinya. Mereka mengatakan mereka ke sana bukan untuk mencuri tetapi penggeledahan tetap dilakukan lalu mereka menemui piala minuman itu.
Oleh kerana piala minuman itu ditemui dalam karung kepunyaan Bunyamin, maka Bunyamin ditahan dan tidak dibenarkan menyertai rombongan untuk pulang. Kerisauan muncul dalam fikiran yang lain kerana khuatir akan ayah mereka yang telahpun sengsara dengan kehilangan Yusuf.
Lalu mereka menghadap Yusuf dan merayu agar Bunyamin digantikan dengan sesiapa daripada mereka. Oleh kerana rayuan mereka tidak diterima, Yahudza sanggup menemani Bunyamin. Yang lain pula pulang ke Palestin untuk memberitahu ayah mereka.
Pertemuan kembali keluarga Ya'akub
Apabila berita itu disampaikan kepada ayah mereka, Nabi Yaakub tersangat berdukacita dan sentiasa menitiskan air mata sehingga dia menjadi buta. Selepas beberapa waktu, Nabi Yaakub menyuruh abang-abang Nabi Yusuf pergi semula ke Mesir membeli barang makan dan mencari berita tentang Nabi Yusuf dan Nabi Bunyamin.
Maka mereka pun sekali lagi pergi ke Mesir. Setibanya di sana mereka terus pergi menemui Nabi Yusuf dengan membawa barang-barang tukaran yang kurang elok mutunya bagi membeli bahan makanan, kerana itu mereka merayu supaya mereka dikasihani.
Pada saat itulah Nabi Yusuf memperkenalkan siapa dirinya yang sebenar dan memperingatkan abang-abangnya akan apa yang telah mereka lakukan kepadanya suatu masa dahulu.
Kemudian apabila abang-abangnya sudah bersedia pulang ke Palestin, Nabi Yusuf mengirimkan bajunya dengan pesanan supaya baju itu disapukan ke muka Nabi Yaakub. Nabi Yusuf juga menyuruh abang-abangnya datang semula ke Mesir dengan membawa ibu bapanya bersama (untuk berpindah dan bermastautin di Mesir).
Semasa abang-abang Nabi Yusuf masih dalam perjalanan pulang, Nabi Yaakub memberitahu saudara-maranya dia tercium-cium bau badan Nabi Yusuf, tetapi mereka tidak percaya sebab pada sangkaan mereka Nabi Yaakub sudah sangat tua dan kata-katanya itu adalah kata-kata orang tua yang nyanyuk.
Sebaik sahaja abang-abang Nabi Yusuf tiba di Palestin dari Mesir, mereka menyapukan baju Nabi Yusuf ke muka Nabi Yaakub lalu ayah mereka dapat melihat kembali. Abang-abang Nabi Yusuf mengaku telah berdosa dan meminta supaya ayah mereka meminta ampun bagi pihak mereka lalu Nabi Yaakub memohon Allah mengampun anak-anaknya yang sudah insaf.
Abang-abang Nabi Yusuf kemudian membawa ibu bapa mereka ke Mesir bagi berjumpa semula dengan Nabi Yusuf. Apabila mereka berjumpa, Nabi Yusuf memeluk kedua ibu bapanya lalu menjemput mereka duduk di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya termasuk abang-abangnya tunduk memberi hormat kepada Nabi Yusuf.
Kata Nabi Yusuf, itulah makna tabir mimpinya dahulu, iaitu bapanya, ibunya dan sebelas adik-beradiknya menghormati dirinya sebagai manusia yang mulia di sisi Allah.
Menurut cerita riwayat tradisi, baginda Nabi Yusuf wafat ketika berumur 110 tahun di Mesir dan kerandanya di bawa oleh Nabi Musa a.s. ketika baginda berhijrah keluar dari Mesir agar dapat dikebumikan di Palestin.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment